Masagena_3

My photo
apabila tinta berbicara, mekarlah nostalgia, menyingkap ceritera, tanpa sia-sia

Membaca Al-Qur'an

      Intipati kisah seorang hamba Allah dalam http://muhdkamil.org/blog:  
      "..seorang pemandu pencen mengamalkan khatam Al-Qur'an dalam satu hingga satu setengah bulan...".

      Dibacanya kisah itu dua kali.  Sepanjang hari dia mengulangi kisah itu di dalam mindanya.  Menyelinap perasaan malu dan berdosa di dalam hatinya.
     
     Adam diajar membaca Al-Qur'an oleh almarhum Ibu dan Ayahnya sejak berumur lima tahun.  Allah telah mengurniakannya kepintaran hingga dengan mudah dia boleh membaca Al-Qur'an.  Dia telah khatam Al-Qur'an entah berapa kali sebelum berusia lapan tahun lagi.  Kehidupan mereka masa itu serba susah, hidup berumah kongsi di tepi hutan.  Lantai rumah daripada nibong dan buluh.... hidup serba susah, tanpa sebarang kemudahan air, letrik dan sebagainya.  Zaman itu zaman konfrantasi Malaysia-Indonesia.
     Adam pandai membaca Al-Qur'an.  Makhraj dan sebutannya betul.  Dia boleh bertarannum sedikit-sedikit.  Dia juga boleh memahami makna beberapa kalimah dan ayat-ayat Al-Qur'an.  Kini  Adam berumur hampir lima puluh empat tahun.  Sudah jauh perjalanannya sejak zaman lantai nibong dan buluh.  Hidupnya sudah jauh lebih selesa.   Dia bekerja sebagai seorang guru.  Hidupnya sekeluarga tidak kaya, tapi cukup senang. 
     Sudah lama Adam tidak membaca Al-Qur'an.  Yang sering dibacanya hanya Surah Yasin.  Kadang-kadang dia membaca Surah Al-Mulk dan Sajadah.   Dia tidak membaca Al-Qur'an secara rutin seperti mana amalan hamba Allah pemandu pencen itu.  
     Adam kecewa dengan dirinya sendiri.  Dia merasa sungguh berdosa kerana meninggalkan Kitab Allah, Mukjizat teragung yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.  Al-Qur'an adalah hidangan daripada Allah Azza Wajalla dan telah dihidangkan oleh RasulNya yang mulia dengan segala susah dan payah.  
      Adam tidak ada sebarang alasan yang boleh diterima.  Banyak alasan yang boleh dicarinya, tapi ia hanyalah sekadar alasan... alasan yang kosong, tidak bermakna apa-apa.  Allah telah memberikannya nikmat "boleh membaca Al-Qur'an" hasil usaha kedua almarhum Ibu dan Ayahnya.  Bukan ramai yang dikurniakan nikmat ini... malang sekali Adam telah mempersiakannya untuk sekian lama. 
       Adam beristighfar panjang, memohon keampunan dari Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
      Alhamdulillah, dia bersyukur kerana Allah telah memberikan peringatan kepadanya melalui kisah dari blog Muhdkamil.  Dia bersyukur kerana dia belum terlambat.  Dia bersyukur kerana dia masih sihat.
     "Ya Allah, aku ingin membaca ayat-ayatMu setiap hari, ya Allah.  Aku ingin membaca satu juzuk setiap hari.  Aku pandai membaca Al-Qur'an, tapi aku telah lalai.  Ampuni aku, ya Allah, tolonglah aku, berikan kekuatan kepadaku.  Ini bukan kehebatanku ya Allah, ini semuanya adalah pemberianMu.  Aku sudah lama lupa bersyukur atas pemberianMu ini.  Ampunilah aku, ya Allah."
     Sejak 27 Disember 2011, Adam mula membaca Al-Qur'an dengan bersungguh-sungguh.  Allah telah mengizinkannya membaca satu juzuk setiap hari.  Adam terus memohon pertolongan Allah, agar semua halangan mampu ditempuhinya.  Dia ingin tamat Al-Qur'an setiap tiga puluh hari, insyaAllah.
      Adam mendoakan agar Allah merahmati Muhd Kamil sekeluarga.  
     Dia juga berdoa, semoga Allah mendatangkan kepadanya anak-anak murid yang ingin belajar membaca Al-Qur'an.  Sudah terlalu lama dia menghindarkan diri dari amanah mulia ini, semata-mata kerana inginkan keselesaan diri dan tidak mahu terikat.  Adam kesal dengan kesilapannya.
    "Ya Allah, mengajar membaca Al-Qur'an adalah pusaka yang ditinggalkan oleh almarhum Ibu dan Ayahku.  Tidak terbilang ramainya anak murid mereka.  Ya Allah, ampunilah dosa Ibu dan Ayahku, terimalah segala amal kebajikan mereka, kurniakan mereka kehidupan bahagia di alam barzakh.   Ya Allah, izinkan aku mengajar orang lain membaca Al-Qur'an, semoga pahala amal kebajikan ini akan terus mengalir kepada kedua orang tuaku.  Aku memohon perlindunganMu dari sifat riak dan bangga diri.  Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik pelindung."
      Adam terus beristighfar.
      Adam terus bersyukur.
      Adam terus memohon.
      Adam terus membaca Al-Qur'an.
      Adam mula mengajar, sambil dia sendiri belajar.



     

No comments:

Post a Comment