Masagena_3

My photo
apabila tinta berbicara, mekarlah nostalgia, menyingkap ceritera, tanpa sia-sia

Saturday 31 December 2011

Inikah Masagena?

      Sudah lapan bulan Bahar bekerja di Jabatan Pertanian dengan gaji RM120 sebulan.  Dia sangat bahagia tinggal bersama semua anak dan isterinya di rumah kongsi yang lebih sempurna.  Sakit dan demam, susah dan payah, mereka tanggung bersama-sama.  Pada mulanya, dia ditugaskan merumput sekeliling pokok-pokok tanaman, kerja yang cukup mudah dan ringan baginya yang sudah biasa bekerja di kem kayu balak.  Pada bulan kedua, Mr. Chin meminta dia menebang beberapa pokok kelapa yang sudah tua dengan menggunakan chain-saw dan kapak besar.  Betapa girangnya hatinya.  Sudah sekian lama dia merindui chain-saw dan kapak besar.  Mr. Chin terpukau memerhatikan Bahar mengetuai beberapa rakan kerjanya menebang, memotong dan membersihkan kawasan kerja.  Sekarang Bahar sudah bergelar Mandor Bahar, dan elaun tambahan datang bersama gelarannya itu.  Dia bersyukur.

     Belum sekalipun dia menyesali keputusannya berpindah ke Tanjung dalam satu tahun ini.  Malah, dia tetap bersyukur dan berusaha, tetap berusaha dan senantiasa bersyukur dengan segala pemberian Allah 'Azza Wajalla kepadanya dan keluarganya.

     Sam sudah masuk darjah lima di Sekolah Inggeris Holy Trinity.  Aya sudah darjah tiga dan Una pula dalam darjah satu di Sekolah Kerajaan Bandar.  Una tidak menangis masa masuk darjah satu, malah kegembiraan jelas tergambar di wajahnya.  Anak-anaknya mudah menyesuaikan diri dan selalu dapat markah tertinggi dalam ujian.  Anak-anaknya dikurniakan Allah Taala keinginan sendiri untuk berjaya dalam pelajaran.  Bahar dan Jenak tidak pernah menyuruh apatah lagi memaksa mereka mengulangkaji atau membuat kerja sekolah.  Mereka belajar dan berusaha sendiri.  Semangat untuk menjadi yang terbaik berkobar-kobar dalam diri mereka.  Tidak pernah luntur semangat mereka, walaupun setiap hari berjalan kaki pergi dan balik sekolah.  Berhujan dan berpanas tidak menghalang mereka untuk hadir sekolah setiap hari.  Bahar dan Jenak sangat bersyukur kepada Allah atas segala kurniaNya.

     Jenak meneruskan usahanya menyediakan kuih-muih dan cendol untuk jualan anak-anak pada hari terima gaji.  Dia juga mengajak dan mengajar anak-anak menanam sayuran dan menternak ayam.   Anak-anak jiran, kecil dan besar, belajar membaca Qur'an dengannya.  Sebuah bilik rumah kongsi diusahakan oleh Bahar untuk dijadikan surau, dan dia menjadi Imam.   Setiap kali bulan Ramadhan menjengah, akan riuhlah surau kecil itu dengan ibadat Solat Tarawih dan selawat ahli jamaah, tua dan muda, kecil dan besar.  Kedatangan Bahar dan keluarganya dalam kelompok rumah kongsi itu telah perlahan-lahan menyegarkan kehidupan beragama di kalangan penghuninya.  Bahar bersyukur kepada Allah Taala yang Maha Agung, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.  Belum sekalipun dia menyesali keputusannya...... inikah Masagena yang dicarinya?

Lembaran Baru di Tanjung

Mandor Umar menunggu jawapan Bahar dengan sabar.  Bahar masih terkejut.  Di wajahnya jelas terpancar perasaan tidak percaya.   "RM120 sahaja?  Pak Mandor tak salah cakap?"  tanyanya sungguh-sungguh.  Matanya bulat menatap tepat ke mata bapa angkatnya.  Dia berdoa dan berharap di dalam hatinya.

     Perasaan belas menyelinap di hati Mandor Umar.  "Iya, gaji RM120 sebulan,"  jawab Mandor Umar dengan suara lembut.  "Kau boleh bawa keluarga tinggal percuma di rumah kongsi yang disediakan.  Ada lektrik dan ada air bersih, semuanya percuma.  Bagus rumahnya tu, dalam kawasan Jabatan Pertanian tu juga,"  sambungnya cuba memujuk.  Bahar tidak memberi respon kerana masih terkejut, ditambah kecewa dan bingung..... perasaan-perasaan jahat yang tidak membolehkan dia berfikir dengan waras.   Dia hanya memikirkan gaji yang ditawarkan...  "Bagaimana nak menyara keluarga besar dengan gaji RM120 sebulan?"  Soalan ini berlegar-legar dalam kepalanya. 

     Mandor Umar sangat mengerti dan memahami.  Dia tahu Bahar biasa dengan gaji empat angka di syarikat kayu balak.  Dia juga sangat kenal Jenak yang sangat rajin mengusahakan jualan kecil-kecilan dan bercucuk-tanam, walaupun suaminya bergaji besar.  Tapi ini Tanjung, bukannya Sebatik.  Susah mendapatkan pekerjaan bergaji besar di Tanjung ini.  Dia tidak akan membiarkan Bahar melepaskan peluang terbaik ini.  Dia tahu masa depan bekerja di Jabatan Pertanian sangat terjamin.   "Bahar!"  Dia meninggikan sedikit suaranya, namun diwajahnya tetap ada senyuman.

     Bahar terkejut, perlahan-lahan dia kembalikan perhatiannya kepada Mandor Umar.   Orang tua ini memang terkenal ikhlas orangnya.  Bukan hanya orang Esbok yang mengenalinya, malah seluruh Tanjung mengenali Mandor Umar dan mengetahui kebaikannya.   "Macam aku cakap tadi, kau boleh bawa keluargamu tinggal di rumah kongsi yang disediakan.  Ada lektrik dan ada air bersih percuma.  Rumahnya bagus, dalam kawasan Jabatan Pertanian juga.  Kawasannya luas dan boleh bercucuk-tanam.  Boleh juga pelihara ayam.  Di belakang rumah kongsi ada sungai.  Kau boleh menjala ikan.  Kamu laki bini kan rajin berusaha, banyak boleh jimat belanja harian tu,"  ujarnya bersungguh-sungguh dengan nada memujuk.   "Sekarang kamu anak-beranak tinggal menumpang satu bilik kan?  Air dan letrik tiada.  Anak-anakmu menjual kuih di tempat-tempat judi haram Esbok ni, sangat bahaya.  Tiap hari Jenak bimbangkan keselamatan mereka.  Apa boleh buat katanya, namanya cari rezeki.  Kau pula, kerja tak tetap.  Hari ini ada kerja, besok tiada.  Besok kerja, lusa tiada.  Terimalah kerja ni Bahar, walau gaji kecil, ia kerja tetap, tiap tahun naik gaji," sambungnya lagi.  Bahar mendengar dengan teliti penjelasan Mandor Umar.  Namun dia masih membisu seribu bahasa, matanya saja yang terkebil-kebil. 

     "Beginilah, tak perlu jawab sekarang.  Fikirkan dulu masak-masak dan bincang baik-baik dengan Jenak.  Pagi lusa, bagi jawapan sebelum jam 9.   Kalau kau mahu kerja tu, aku bawa kau ke Jabatan Pertanian.  Tapi, dengar nasihat aku, ini peluang paling baik, bukan senang dapat kerja dengan pemerintah.  Fikirkan masak-masak ya.  Mohonlah petunjuk daripada Allah Taala,"  kata Mandor Umar memberi peluang.  Matanya berkaca-kaca penuh kesungguhan dan keihklasan.

      Bahar bersandar di dinding.  Matanya sekajap pejam, sekejap buka.  Dahinya berkerut.  "Allaaaaahuakbar....... la haula wala quwata illah bilLah......" sekali sekala terkeluar dari mulutnya.   Jenak memerhati gelagat suaminya dengan ekor mata, sambil tangannya menguli adunan kuih.  Bahar terus melayan fikiran yang menerawang, meneliti kembali keputusan berat yang nekad diambilnya...

        Bahar meninggalkan Sebatik dan kem kayu balak; meninggalkan rumah kecil dan kebun kacang; meninggalkan gaji besar.  Dia telah bermunajat memohon taufik daripada Allah yang Maha Mengetahui.  Dia mengambil keputusan membawa keluarganya berpindah terus ke Tanjung.   Dia perlu mengambil keputusan drastik ini demi dua orang anaknya yang sedang bersekolah di Tanjung.  Cukuplah penderitaan dan kesusahan mereka, cukuplah juga derita yang melanda perasaannya dan Jenak. 

      Dia yakin keputusan ini adalah yang terbaik.  Dia yakin, jika terus berusaha, dia dan keluarganya tidak akan kebuluran.  Dia yakin, jika pandai berjimat-cermat wang simpanan, dia dan keluarganya boleh hidup sehingga mendapat pekerjaan yang sesuai.  Dia yakin bahawa inilah laluan untuk mencari Masagena.  Masagena bukan untuk diri dan isterinya sahaja, malah untuk anak-anak dan cucu-cicitnya.  Jenak sangat keberatan menerima keputusannya untuk berpindah ke Tanjung.  Bahar sangat memahami perasaan Jenak.  Mereka bakal menghadapi pelbagai ketidaktentuan hidup bersama enam orang anak di tempat yang tidak dikenali.  Tapi, Bahar sudah tetap pendirian dan sangat nekad.  Keputusannya tidak dapat diubah lagi.  Akhirnya, demi persekolahan dan masa depan anak-anak, Jenak menurut saja dan berserah kepada Allah Taala.