Masagena_3

My photo
apabila tinta berbicara, mekarlah nostalgia, menyingkap ceritera, tanpa sia-sia

Friday 16 March 2012

Kisah "KOK LIMA DING"

  "Kok lima ding... kok lima ding...  kok lima ding..."  Aba mengulang-ulang tanpa henti dari tadi.  Kaki montoknya yang putih gebu membawanya sebentar ke depan dan sebentar ke dapur di rumah kongsi kecil itu.  Kadang-kadang dia bertepuk tangan.  Terbayang di wajahnya bahawa dia sedang berseronok.

      "Kok lima ding... kok lima ding... kok lima ding..."  Aba yang baru belajar menyebut beberapa perkataan meneruskan nyanyiannya dengan suara yang nyaring.  Jenak tidak dapat mempastikan lagu atau irama apa yang cuba didendangkan.  Lidah Aba terlalu pelat, hingga liriknya pun menjadi tanda tanya kepada Jenak.

      "Tak apalah dia menyanyi, bukannya sakit,"  bisik hati Jenak sambil terus mengacau adunan cendol pandan asli di atas bara api.  Besok hari gajian, banyak lagi kerja yang perlu Jenak sesesaikan.  Empat orang anaknya ke sekolah.  Tinggal Sia, Aba dan Ada di rumah.  Pada umur tiga tahun lebih, Sia yang lemah-lembut, sudah boleh diharap menghinjut buaian Ada.  

***

      Adun duduk sebaris sepanjang dinding dengan tujuh orang anak jiran-jiran mereka.  Mereka baru hendak memulakan sesi mengaji Qur'an petang itu.  Sam, Aya dan Una mengawasi mereka.  Sam sudah khatam sebanyak empat kali, Aya tiga kali, dan Una dua kali.  Sekarang mereka boleh menolong Jenak mengajar anak-anak mengaji lain membaca Muqaddam dan Qur'an besar.   Dengan cara itu anak-anaknya bertiga itu juga dapat mengulang bacaan masing-masing.  Alhamdulillah.

      "Kok lima ding... kok lima ding... kok lima ding..."  Aba meluru dari dapur dan terus duduk di sebelah Aya.  Jenak terpinga-pinga seketika, tetapi membiarkan saja. Wajah Aba serius dan matanya bulat berkaca-kaca.  Aya bangun tanpa kata-kata, lalu mengambil kain dan menutup lutut Aba.  Aya faham bahawa jika duduk di hadapan Qur'an, hendaklah menutup lutut.  Aya tak banyak cakap, tapi agak skema orangnya.  Jenak tersenyum simpul.

      "Fafahhamnaahaa Sulaimaana.........." anak-anak mula membaca doa.  Jenak mendengar dengan teliti.....  Doa ini agak panjang, namun Jenak memaksa semua anak mengaji untuk menghafalnya kerana fadhilah penerangan hati yang sangat besar.   Dia juga menasihati mereka agar membaca doa ini untuk pelajaran di sekolah.

      "Kok lima ding!!!"  tiba-tiba suara Aba mengatasi suara anak-anak lain.  Jenak terkejut.  Barulah dia faham bahawa "kok lima ding" ialah "bihaqqi Muhammadin".  Rupa-rupanya selama ini, Aba yang berumur dua tahun tujuh bulan itu selalu pasang telinga apabila anak-anak belajar Al-Qur'an.  "Bihaqqi Muhammadin" adalah perkataan Arab pertama yang disebutnya walaupun dengan telornya yang istimewa dan tersendiri.

      "Muhammad itu sangat benar anakku.  Baginda ialah Rasulullah, penutup sekalian nabi, insan yang sungguh berjasa menyampaikan Islam sebagai rahmat kepada sekalian Alam ini.  Ya Allah, berikanlah kefahaman Islam kepada semua anakku, kerana itu adalah kebaikan yang terunggul yang Engkau berikan kepada hamba-hambaMu yang terpilih,"  Jenak berbisik sendirian sambil memanjatkan doa kepada Allah Rabbul Jalil.

***

Tiga Tahun Kemudian...........

      "MasyaAllah, MasyaAllah...." Timah sangat terharu.  Sia membaca Surah Adh-Dhuha dengan suara yang sangat lunak dan merdu.  Bacaannya bertajwid dan sangat tartil.  Sungguh enak pada pendengarannya.  Matanya tertumpu kepada Sia anak kelima Bahar dan Jenak yang manis sekali dengan pakaian khatam Qur'an ala pengantin.  Sesekali Timah menyapu air matanya.  Tiada kesalahan bacaan yang dilakukan oleh Sia.

     "Allah, Allah, Allah...."  Lija, biras Jenak mengangguk-ngangguk takjub mendengar Surah Al-Insyirah yang dibacakan oleh Aba, adik Sia.  Matanya tidak berkedip-kedip memandang Aba yang dihias cantik sekali seolah-oleh pengantin kecil.  Sesekali dia juga menyapu matanya yang basah.  Suara Aba begitu nyaring dan penuh keyakinan.  Tiada kesalahan bacaan yang dilakukan oleh Aba juga.

      "Boleh dorang berdua khatam sekali ya, Kak Jenak,"  Lija seolah-olah meminta kepastian, sambil menjamah pulut kuning dan kari ayam kampung.  Di atas "pelamin" mereka, Sia dan Aba juga sedang makan pulut kuning.  Kedua-duanya duduk dan makan dengan sopan sekali, walaupun duduk di tempat yang sungguh istemewa pada majlis itu.  Bahar dan Jenak mengajar anak-anak mereka bersopan selalu, khususnya di hadapan tetamu yang datang ke rumah.

      "Sia sudah lapan bulan tamat Qur'an.  Sepatutnya kita buat Khatam Qur'an untuk dia sebelum masuk darjah satu hari tu.  Tapi, Si Aba tu, bersungguh-sungguh hati dia nak khatam dengan kakaknya.  Dia yang rajin betul membaca sampai enam kali, kadang-kadang lapan kali sehari.  Dia kan belum sekolah, banyaklah masanya setiap hari.   Penat jugak kita dibuatnya.  Kakak-kakak dan abangnyalah yang selalu memerhatikan bacaannya setiap hari.  Kalau ikutkan membaca empat kali sehari, bulan enam tahun depan baru dia boleh khatam tu,"  Jenak memberi penjelasan panjang dan lebar.

      "Kuat kemahuannya si Aba tu.  Apa dia mahu, dia usaha betul-betul,"  Timah pula mencelah dengan nada yang agak serius.

     "Ya Timah, dia bermula dengan kok lima ding saja,"  kata Jenak disambut gelak ketawa oleh mereka yang mengetahui kisah kok lima ding.

      




Thursday 23 February 2012

Kelas Jahitan

      "Sabtu pagi depan ni, mula cuti sekolah hujung tahun.   HD akan mula kelas jahitan di sini, terbuka untuk semua ibu-ibu dan anak-anak perempuan.  Mak Sam dan anak-anak boleh ikut belajar juga,"  kata Bahar sambil menyuap nasi dengan berselera.  Pucuk ubi masak lemak, ikan goreng dan sambal belacan memang kegemarannya.

      "Sam nak ikut belajar.  Aya nak tak?  Kita masuk dua orang,"  Sam memberi respon segera sebelum sempat Jenak berkata apa-apa.  Sam memang selalu cepat dan tangkas.  Bahar bangga dengan sikap positif anak sulungnya.

      "Una pun nak belajar juga.  Mana boleh Kak Sam dan Kak Aya je,"  Una mencelah.  Jenak masih belum berpeluang berkata apa-apa.  Bibirnya menguntum senyum dengan keletah Sam dan Una.  "Aya macam mana?"  tanyanya kepada Aya yang sedang mencubit isi ikan kembong goreng.

      "Boleh juga,"  Aya menjawab perlahan.  Aya memang jenis slow and steady orangnya, namun kecerdasannya setanding Sam dan Una.

      "Berapa kena bayar, Pak Sam?"  Jenak menghalakan soalan kepada Bahar.

      "Percuma semuanya.  Cuma perlu sediakan kain, benang, dan beberapa alatan sendiri.  Mesin jahit disediakan oleh HD.  Tempat belajar di sekolah pertanian di belakang tu,"  Bahar menjelaskan.

      "Bagusnya!  Una nak jahit baju sendiri, lepas tu tangkap gambar.  Boleh buat kenangan,"  ujar Una dengan gembira.

      "Iya, semua nanti belajar buat baju sendiri, dan buat baju adik-adik juga.  Lepas tu, kita bergambar satu keluarga.  Lebih bagus begitu kan?"  Jenak memberi pandangan.  Dalam fikirannya dia sudah merancang-rancang kain apa yang baik untuk diberi kepada anak-anaknya.  Tentunya mereka tidak boleh berbelanja besar.  Tahun hadapan Dun akan masuk Darjah Satu, Una naik Darjah Tiga, dan Aya akan naik Darjah Lima.  Sam pula akan melangkah masuk ke Tingkatan Satu.  Jenak sudah merancang dan menyediakan wang untuk keperluan sekolah mereka sedikit-sedikit, bulan demi bulan.  Wang itu tidak boleh diusik sama sekali.

***

      "Belajar menjahit pagi Isnin, Rabu dan Sabtu mula jam sembilan pagi sampai jam dua belas tengah hari.  Winnie kata kena beli kain dua ela setengah untuk buat baju,"  Sam menyampaikan berita kepada Jenak, sebaik saja pulang dari kelas HD pertama.  Sam agak bimbang kalau-kalau mereka tidak mampu membeli kain berkenaan.
       "Kain batik boleh?"  Jenak minta penjelasan, setelah diam seketika.
     "Kain apa pun boleh, kata Winnie, asalkan dua ela setengah, kurang tak boleh,"  Aya menyambung penjelasan.  Dia juga merasakan kebimbangan kakaknya.  Dia dan kakaknya sudah mengerti sejak sekian lama bahawa keluarga mereka bukan keluarga senang.  Setiap perbelanjaan perlu dirancang sebaik-baiknya.
      "Alhamdulillah kalau begitu,"  kata Jenak sambil bangun menuju ke almari pakaian.  Dia mengeluarkan tiga helai kain batik lepas yang kelihatan masih baru kerana sangat jarang digunakan.  Anak-anaknya memerhati penuh faham.
      "Sekarang, Kak Sam pilih dulu, lepas tu Kak Aya.  Yang selebihnya Una punya,"  Jenak menjelaskan peraturan yang memang sudah sedia difahami oleh anak-anaknya setiap kali mereka perlu membuat pilihan sesama mereka.  Jenak mengajar anak-anaknya bahawa yang tua mesti didahulukan sebagai tanda hormat.

      "Lain kali, kalau perlu kain lagi, kita akan beli, insyaAllah.  Kita akan simpan duit untuk beli kain ya,"  Jenak memberi harapan pada anak-anaknya.   
     
***
     
     Jenak bertemu Winnie untuk mengetahui jenis kain yang perlu dibeli untuk projek jahitan seterusnya.   Agak banyak juga rupanya.  Ada projek baju kanak-kanak, baju kemeja, sarung kusyen, sarung bantal cross stitch dan teddy bear.   AlhamdulilLah, bahan-bahan hiasan setiap projek disediakan oleh HD sendiri.  Jenak mula merancang kewangan untuk mempastikan anak-anaknya dapat belajar membuat semua projek tanpa ketinggalan satupun.  Di luar cuti sekolah, kelas HD akan diadakan pada hari Sabtu sahaja.  Jika cuti sekolah, kelas diadakan tiga kali seminggu.
       "Ya Allah, murahkanlah rezeki kami, permudahkanlah semua urusan kami.  Sesungguhnya Engkau Maha Kaya lagi Maha Mengetahui,"  doa Jenak sentiasa kepada Allah Rabbul Jalil.

***

      "Kita ikat reben macam ni,"  Sam memberi cadangan kepada Aya dan Una.  Mereka bertiga sedang bersiap-siap untuk bergambar satu keluarga.   Setahun sudah berlalu sejak mereka menyertai kelas HD.  Ketiga-tiganya bergaya dengan baju batik buatan sendiri.

      "Rambut adik-adik kita ikat macam ni, dan semat kerongsang reben,"  Aya pula mencadangkan.  Tiga beradik masing-masing  menyiapkan Sia, Aba dan Ada.  Ketiga-tiganya manis serta comel mengenakan gaun tetron biru langit sedondon dengan jahitan smoking di dada.  Gaun mereka dijahit oleh kakak-kakak mereka, bersekali dengan rossette reben hiasan rambut.

      "Mari sini Adun.  Adun berdiri di tengah.  Kakak semua di belakang, dan adik-adik di hadapan,"  Bahar mengatur kedudukan ahli keluarganya.  Adun segak mengenakan baju kemeja corak jalur yang dijahit oleh Jenak sendiri.  Bahar mengenakan kemeja putih lengan pendek dan bertali leher.  Jenak berkebaya buatan sendiri dari kain lace.  Semuanya bergaya, segak dan manis sekali.

      Bergambar sekeluarga di Kedai Gambar Dahlia di Tanjung adalah sangat bermakna bagi keluarga Bahar.  Kenangan yang diabadikan sebagai tanda kesungguhan Jenak dan Bahar mendidik anak-anaknya mencari Masagena.   Kenangan yang mengabadikan kesepakatan dan kesepaduan mereka sekeluarga.  Kenangan yang sangat manis bagi Sam, Aya dan Una, lebih manis daripada madu.   Mereka bertiga telah tamat kelas HD anjuran Jabatan Pertanian.  Kenangan yang pastinya tidak akan padam dari ingatan mereka buat selama-lamanya.  

      Bahar dan Jenak berdoa agar kemahiran yang mereka perolehi akan membantu dalam kehidupan anak-anaknya pada hari-hari mendatang.  Setidak-tidaknya akan dapat mengurangkan perbelanjaan menyediakan pakaian hari raya dan keperluan rumah tangga mereka kelak. 

      "Ya Allah, lapangkan kehidupan kami anak-beranak di dunia dan di akhirat.  Jauhkanlah kami dari azab api nerakaMu,"  doa Jenak dan Bahar setiap kali selepas solat.
 

      


      

Wednesday 25 January 2012

Anglia ST 363

      Dari tadi mata Jenak mengikuti pergerakan dua buah kereta itu.  Sekali sekala dia memerhatikan Sam membersihkan ikan.  Aya sedang memarut kelapa dengan berhati-hati.  Una melayani dua adiknya Sia dan Aba, sambil menjaga Ada yang sedang belajar merangkak.  Adun ikut bapanya sejak pagi lagi.  Mereka keluar bersama Udin selepas sarapan.
      "Ada orang sesat barangkali.  Jarang ada kereta sampai ke sini melainkan jip pertanian.  Cari siapa agaknya?" Sam bersuara. 
     Jenak mengangguk saja.  Nasi yang ditanak sedang dikeringkan dengan bara api.  Sekejap lagi dia boleh memasak sayur dan menggoreng ikan.  Sementara itu, dia menyediakan sambal belacan dan membakar ikan masin di atas bara api.  Bau ikan masin bakar wangi semerbak.
      Dua buah kereta itu berhenti.
      "Itu bapa, Bang Udin dan Adun la mak,"  Aya bersuara agak kurang percaya.  Tangannya berhenti dari memarut kelapa.  Sam juga berhenti menyiang ikan.
      Cepat-cepat Jenak mengangkat ikan masin dari bara api, lalu menuruni tangga dapur.  Sam dan Aya meninggalkan kerja masing-masing dan mengikut Jenak, masing-masing diselubungi tanda tanya.  Una tercegat di pintu dapur sambil menggendong Ada.  Sia dan Aba asyik dengan permainan mereka.
      "Alhamdulillah, ini kereta kita, bapa baru beli,"  Bahar memberi penjelasan.  Wajahnya girang, kegirangan yang menular ke wajah Jenak dan anak-anaknya. 
      "Kereta bapa, ye.  Kereta bapa, ye...."  Adun mengelilingi kereta Anglia dengan nombor ST 363 itu sambil menyanyi nyaring.  Adun memang anak yang sungguh periang.  Bahar senyum meleret melihat gelagat Adun.
      "Semua urusan sudah selesai Makcik, alhamdulillah, tambahan pula dibayar dengan wang tunai.  Tengok ni, kereta baru berkilat, plastik pun belum buang,"  ujar Udin tersenyum lebar sambil mengusap bumbung kereta wagon hijau muda itu.
      "Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak, Udin.  Kau yang banyak tolong kami.  Kalau harapkan kami, apalah yang kami tahu," sambut Jenak.  Dia amat bersyukur.  Sudah berbulan-bulan dia dan suaminya berbincang mengenai pembelian kereta.  Kenderaan memang sangat mereka perlukan.  Alhamdulillah, hajat mereka untuk berkereta kini tercapai.
      "Ya Allah, jadikanlah kereta ini bermanfaat sepenuhnya pada jalan kebaikan,"  doa Jenak.

***

      "Petang ini, insyaAllah, bapak akan mula bawa teksi sapu di Tanjung.  Jadi, lepas kerja nanti, siapkan nasi ya, bapak nak makan dulu,"  Bahar mengingatkan Jenak, sambil mengenakan sepatu.
      "Agak malam balik jam berapa?"  tanya Jenak.
      "Tak tau nak kata lagi.  Hari ni hari pertama bapa turun, semua kena tengok keadaan.  Malam ni ada wayang tengah malam.  Doakan saja, semoga Allah murahkan rezeki kita dan diberikan kemudahan,"  Bahar berpesan.

***
      "Dah jam sepuluh, bapak belum balik lagi.  Sudah dua malam bapak keluar malam.  Malam tadi Aya tak sedar bapak balik jam berapa.  Bapak ke mana ya?"  Aya berbisik kepada kakaknya Sam.  Jenak sedang membaca Al-Qur'an dekat dengan buaian Ada.
      "Bapa cari rezeki di Tanjung.  Malam tadi jam dua baru bapak balik.  Kesian bapak, siang kerja, malam pun kerja,"  Sam berbisik balik kepada Aya memberi penjelasan.
      "Mak pun kesian juga.  Hari gajian mesti buat jualan... mak dengan bapa pandai cari duit kan?"  Aya berbisik lagi.
      "Itulah, kita mesti rajin sekolah, rajin belajar.  Kita mesti tolong mak, dia tu bukan berapa sihat, tapi tak pernah duduk diam,"  Sam memberi nasihat kepada adiknya sambil menarik selimut rapat ke bawah dagu.  Dia sangat mengantuk.  Kedinginan malam betul-betul terasa.  Di luar sana, hujan renyai belum berhenti sejak maghrib lagi. 
      Jenak berhenti membaca Al-Qur'an dan memeriksa selimut anak-anaknya.  Enam orang anaknya tidur sebaris di atas lantai berlapikkan tikar.  Anak-anaknya belum pernah mengenal hidup mewah sampai sekarang.  Rumah kongsi tiga ruang tempat mereka berlindung sudah cukup selesa bagi mereka.  Sebelum ini mereka biasa tidur berlantaikan nibong dan buluh.
      "Ya Allah, peliharalah anak-anakku semua daripada kejahatan jin dan manusia, daripada kejahatan syaitan dan iblis.  Kurniakanlah kami kehidupan dunia dan kehidupan akhirat yang baik, jauhkanlah kami dari azab api neraka,"  Jenak berdoa dengan doa yang diamalkannya setiap hari, siang dan malam.









     









Friday 20 January 2012

Memandu, Kelahiran dan Susu Pekat

      "Mana aku ada lesen memandu... memandu pun tak pandai... buat apa beli kereta?"  kata Bahar sambil ketawa kecil.  Namun hatinya agak teruja dengan cadangan Udin, menantu saudara Halija.  Kadang-kadang pemikiran Udin agak maju ke depan, dan agak tidak boleh diterima oleh fikiran.
     "InsyaAllah, saya boleh ajar Pakcik memandu kereta, senang sangat.  Sementara tu, mulakan dulu urusan beli kereta.... saya sungguh-sungguh ni..."  Udin membalas dengan serius apabila melihat Bahar terus tersenyum-senyum tidak yakin.
     "Beginilah, sekarang juga Pakcik ikut saya, naik kereta saya, belajar memandu..."  Udin mempelawa sambil membuka pintu keretanya.
     "Kau ni ada-ada saja Udin... nanti-nantilah aku belajar."  Bahar teragak-agak,  serba salah menolak pelawaan Udin yang ternyata sangat ikhlas.
      "Tak payah nanti-nanti... kita cuba sekarang, Pakcik tidak akan menyesal, insyaAllah.  Bayangkan apabila Pakcik boleh memandu, ada kereta sendiri, senanglah mengurus anak dan isteri ke sana-sini apabila diperlukan.  Boleh juga jadi punca pendapatan sebelah malam, jadi kereta "pirate"... prebet sapu." Udin terus memujuk.
      "Iya juga ya?"  Bahar mula bersemangat.  Apa saja yang boleh menambah pendapatan untuk keluarga, memang menaikkan semangatnya.

***

     "Mandor ada lesen memandu?  Kita ada jawatan kosong untuk pemandu."  Mr. Chin tiba-tiba bertanya apabila Bahar naik ke pejabat suatu pagi di awal bulan.
      "Ada Mr. Chin, ada, baru dapat lesen memandu bulan lepas.  Ini dia..."  jawab Bahar girang sambil mengeluarkan lesen memandunya yang sangat baru.   Hatinya tiba-tiba terasa berbunga-bunga wangi kerana terlalu gembira.
      "Wah!  Ini sangat bagus!  Mula besok Mandor jadi pemandu bawa HD masuk kampung ajar jahit dan masak.  Gaji ada tinggi sikit dan ada elaun perjalanan.  Kita kasi satu jip untuk Mandor bawa dan jaga betul-betul.  Sekarang pergi pada kerani untuk isi borang dan belajar isi buku log perjalanan."  Mr. Chin memberi arahan sambil tersenyum lega.  Senyum yang lebar di wajah Bahar sudah cukup sebagai tanda persetujuan.  Masalahnya mencari pemandu selesai sekelip mata.  Mencari mandor baru bukan satu masalah yang besar bagi Mr. Chin.  Siapa-siapa pun boleh jadi mandor.  Tapi tidak semua orang boleh jadi pemandu.
      "Ya Allah, Engkau yang melorongkan aku ke jalan ini.  Alhamdulillah...."  bisik Bahar di dalam hati.

***

      "Una, bangun nak... bangun..."  Bahar mengejutkan Una yang sedang nyenyak tidur.  Jam menunjukkan hampir jam satu pagi.  
      Una bangkit terpinga-pinga.  Sam dan Aya sedang menolong emak mereka Jenak. 
      "Una ikut bapa dan mak ke rumah sakit ya, teman mak.  Mak nak beranak adik baru."  Bahar memberi penjelasan dengan hati berdebar-debar sambil menjeling ke arah Jenak yang nampak sedang kesakitan.  Bukan itu saja, Jenak sedang tumpah darah!  Setiap langkahnya meninggalkan tompok darah di atas lantai rumah, darah mengalir turun dengan banyaknya!!  Kecut hatinya melihat keadaan itu.
      "Ya Allah, tolong Jenak ya Allah, tolong Jenak, tolong kami ya Allah..."  Doanya tidak putus-putus.
      "Sam dan Aya jaga adik-adik, bersihkan darah dan siapkan tempat tidur mak."  Arah Bahar sambil bergegas memimpin Jenak masuk ke dalam jip Jabatan Pertanian.  Una membawa beg Jenak dan duduk di belakang.  Dia masih terpinga-pinga dan membisu seribu bahasa.   Apalah yang boleh diucapkan oleh anak berumur sembilan tahun tatkala melihat ibunya dalam keadaan yang begitu asing baginya?  Keadaan yang cukup menakutkan.  Apa yang mampu dilakukan olehnya? Dia hanya taat pada suruhan bapanya, walaupun hatinya dipenuhi seribu tanda tanya. Kedinginan malam mula terasa.
      "Pegang kuat-kuat ya nak.  Bapa bawa jip laju ni,"  Jenak sempat memperingatkan Una apabila dia boleh berkata-kata di celah kesakitannya.  Mulutnya kumat-kamit berzikir.  Hati sanubarinya memanjatkan doa tidak putus-putus ke hadhrat Allah Azzawajalla, memohon bantuanNya.
      Sebelum waktu subuh, Bahar sudah mengazankan anaknya yang terbaru, seorang bayi perempuan.  Lengkap tujuh orang anaknya kini, enam orang perempuan dan seorang lelaki.
      "Kuterima rezki pemberianMu dengan segala kesyukuran, ya Allah.  Aku bersyukur Engkau telah selamatkan kedua-duanya.  Aku bersyukur aku sudah ada lesen memandu ya Allah.  Sesungguhnya Engkau maha mengetahui dan maha pengatur..."  antara munajatnya di subuh hari 20 Jun itu.

 ***

      "Kau nampak agak sihat Mak Sam.  Tak macam mula-mula kami datang dulu, nak bercakap pun tak daya."  Kata Mak Ros sambil memicit-micit kaki Jenak.
      "Iya kan?  Ngeri kami apabila Pak Sam kata kau tumpah darah.  Syukurlah sempat ke rumah sakit kan?"  Mas pulak menyampuk.
      "Alhamdulillah.  Kamu tau, naik saja atas katil beranak tu, aku dah tak boleh tahan.  Misi kata, tunggu, tunggu, saya nak pakai apron!!!  Tapi, macam mana nak tahan?  Aku beranak juga...... kesian dia, habis baju putihnya kena darah.  Baik betul Misi Cina tu, dia ketawa, tak marah pun.  Tapi, aku kena tambah darah banyak juga, sebab tu lima hari di rumah sakit."  Jenak menceritakan pengalamannya.  Wajah misi baik hati itu masih terbayang jelas di ruang matanya.  Tabung darah yang silih berganti disambungkan ke lengannya juga, masih terasa sakitnya sampai sekarang.
      Adik ipar dan kawan-kawannya diam sejenak mendengar cerita Jenak.
      "Siapa namanya ni?"  Timah, Mak Ros dan Mas bertanya serentak, lalu berpandangan sesama sendiri, lalu sama-sama ketawa.  Jenak ketawa perlahan sesuai perempuan dalam pantang tiga puluh hari.  Geli hatinya melihat gelagat mereka.  Mereka menziarahinya buat kali kedua selepas pulang dari rumah sakit.  Mereka adalah kawan-kawan rapatnya, kawan-kawan baiknya, selalu berkongsi susah dan senang bersama.
        "Namanya Aida,"  jawab Jenak sambil mengusap pipi bayinya.
      "Botol apa ni Kak Jenak?  Macam botol ubat rumah sakit.  Banyaknya Kak Jenak makan ubat."  Timah memegang sebuah dari beberapa botol di dalam bekas.  
      "Itu la, Ada ni, tak mau dia menyusu badan.  Dibancuhkan susu cap junjung juga tak mau.  Kami cuba-cuba letak susu pekat di lidahnya, masyaAllah, mau dia hisap, terus berhenti menangis.  Botol kecil tu botol susu dia lah."  
      "Tak bahayakah Mak Sam?  Susu tu kan manis?"  Mak Ros menyuarakan kebimbangan.
     "Entahlah.  Kita berserah saja pada Allah Taala.  Mudah-mudahan dia sihat."  kata Jenak bernada pasrah.
      Bahar yang mendengar semua perbualan empat sekawan itu mengaminkan doa Jenak.  Kebimbangannya dilitupi olah doa yang sentiasa dipanjatkan ke hadhrat Allah Taala, Tuhan yang maha segala-galanya.