Masagena_3

My photo
apabila tinta berbicara, mekarlah nostalgia, menyingkap ceritera, tanpa sia-sia

Thursday 23 February 2012

Kelas Jahitan

      "Sabtu pagi depan ni, mula cuti sekolah hujung tahun.   HD akan mula kelas jahitan di sini, terbuka untuk semua ibu-ibu dan anak-anak perempuan.  Mak Sam dan anak-anak boleh ikut belajar juga,"  kata Bahar sambil menyuap nasi dengan berselera.  Pucuk ubi masak lemak, ikan goreng dan sambal belacan memang kegemarannya.

      "Sam nak ikut belajar.  Aya nak tak?  Kita masuk dua orang,"  Sam memberi respon segera sebelum sempat Jenak berkata apa-apa.  Sam memang selalu cepat dan tangkas.  Bahar bangga dengan sikap positif anak sulungnya.

      "Una pun nak belajar juga.  Mana boleh Kak Sam dan Kak Aya je,"  Una mencelah.  Jenak masih belum berpeluang berkata apa-apa.  Bibirnya menguntum senyum dengan keletah Sam dan Una.  "Aya macam mana?"  tanyanya kepada Aya yang sedang mencubit isi ikan kembong goreng.

      "Boleh juga,"  Aya menjawab perlahan.  Aya memang jenis slow and steady orangnya, namun kecerdasannya setanding Sam dan Una.

      "Berapa kena bayar, Pak Sam?"  Jenak menghalakan soalan kepada Bahar.

      "Percuma semuanya.  Cuma perlu sediakan kain, benang, dan beberapa alatan sendiri.  Mesin jahit disediakan oleh HD.  Tempat belajar di sekolah pertanian di belakang tu,"  Bahar menjelaskan.

      "Bagusnya!  Una nak jahit baju sendiri, lepas tu tangkap gambar.  Boleh buat kenangan,"  ujar Una dengan gembira.

      "Iya, semua nanti belajar buat baju sendiri, dan buat baju adik-adik juga.  Lepas tu, kita bergambar satu keluarga.  Lebih bagus begitu kan?"  Jenak memberi pandangan.  Dalam fikirannya dia sudah merancang-rancang kain apa yang baik untuk diberi kepada anak-anaknya.  Tentunya mereka tidak boleh berbelanja besar.  Tahun hadapan Dun akan masuk Darjah Satu, Una naik Darjah Tiga, dan Aya akan naik Darjah Lima.  Sam pula akan melangkah masuk ke Tingkatan Satu.  Jenak sudah merancang dan menyediakan wang untuk keperluan sekolah mereka sedikit-sedikit, bulan demi bulan.  Wang itu tidak boleh diusik sama sekali.

***

      "Belajar menjahit pagi Isnin, Rabu dan Sabtu mula jam sembilan pagi sampai jam dua belas tengah hari.  Winnie kata kena beli kain dua ela setengah untuk buat baju,"  Sam menyampaikan berita kepada Jenak, sebaik saja pulang dari kelas HD pertama.  Sam agak bimbang kalau-kalau mereka tidak mampu membeli kain berkenaan.
       "Kain batik boleh?"  Jenak minta penjelasan, setelah diam seketika.
     "Kain apa pun boleh, kata Winnie, asalkan dua ela setengah, kurang tak boleh,"  Aya menyambung penjelasan.  Dia juga merasakan kebimbangan kakaknya.  Dia dan kakaknya sudah mengerti sejak sekian lama bahawa keluarga mereka bukan keluarga senang.  Setiap perbelanjaan perlu dirancang sebaik-baiknya.
      "Alhamdulillah kalau begitu,"  kata Jenak sambil bangun menuju ke almari pakaian.  Dia mengeluarkan tiga helai kain batik lepas yang kelihatan masih baru kerana sangat jarang digunakan.  Anak-anaknya memerhati penuh faham.
      "Sekarang, Kak Sam pilih dulu, lepas tu Kak Aya.  Yang selebihnya Una punya,"  Jenak menjelaskan peraturan yang memang sudah sedia difahami oleh anak-anaknya setiap kali mereka perlu membuat pilihan sesama mereka.  Jenak mengajar anak-anaknya bahawa yang tua mesti didahulukan sebagai tanda hormat.

      "Lain kali, kalau perlu kain lagi, kita akan beli, insyaAllah.  Kita akan simpan duit untuk beli kain ya,"  Jenak memberi harapan pada anak-anaknya.   
     
***
     
     Jenak bertemu Winnie untuk mengetahui jenis kain yang perlu dibeli untuk projek jahitan seterusnya.   Agak banyak juga rupanya.  Ada projek baju kanak-kanak, baju kemeja, sarung kusyen, sarung bantal cross stitch dan teddy bear.   AlhamdulilLah, bahan-bahan hiasan setiap projek disediakan oleh HD sendiri.  Jenak mula merancang kewangan untuk mempastikan anak-anaknya dapat belajar membuat semua projek tanpa ketinggalan satupun.  Di luar cuti sekolah, kelas HD akan diadakan pada hari Sabtu sahaja.  Jika cuti sekolah, kelas diadakan tiga kali seminggu.
       "Ya Allah, murahkanlah rezeki kami, permudahkanlah semua urusan kami.  Sesungguhnya Engkau Maha Kaya lagi Maha Mengetahui,"  doa Jenak sentiasa kepada Allah Rabbul Jalil.

***

      "Kita ikat reben macam ni,"  Sam memberi cadangan kepada Aya dan Una.  Mereka bertiga sedang bersiap-siap untuk bergambar satu keluarga.   Setahun sudah berlalu sejak mereka menyertai kelas HD.  Ketiga-tiganya bergaya dengan baju batik buatan sendiri.

      "Rambut adik-adik kita ikat macam ni, dan semat kerongsang reben,"  Aya pula mencadangkan.  Tiga beradik masing-masing  menyiapkan Sia, Aba dan Ada.  Ketiga-tiganya manis serta comel mengenakan gaun tetron biru langit sedondon dengan jahitan smoking di dada.  Gaun mereka dijahit oleh kakak-kakak mereka, bersekali dengan rossette reben hiasan rambut.

      "Mari sini Adun.  Adun berdiri di tengah.  Kakak semua di belakang, dan adik-adik di hadapan,"  Bahar mengatur kedudukan ahli keluarganya.  Adun segak mengenakan baju kemeja corak jalur yang dijahit oleh Jenak sendiri.  Bahar mengenakan kemeja putih lengan pendek dan bertali leher.  Jenak berkebaya buatan sendiri dari kain lace.  Semuanya bergaya, segak dan manis sekali.

      Bergambar sekeluarga di Kedai Gambar Dahlia di Tanjung adalah sangat bermakna bagi keluarga Bahar.  Kenangan yang diabadikan sebagai tanda kesungguhan Jenak dan Bahar mendidik anak-anaknya mencari Masagena.   Kenangan yang mengabadikan kesepakatan dan kesepaduan mereka sekeluarga.  Kenangan yang sangat manis bagi Sam, Aya dan Una, lebih manis daripada madu.   Mereka bertiga telah tamat kelas HD anjuran Jabatan Pertanian.  Kenangan yang pastinya tidak akan padam dari ingatan mereka buat selama-lamanya.  

      Bahar dan Jenak berdoa agar kemahiran yang mereka perolehi akan membantu dalam kehidupan anak-anaknya pada hari-hari mendatang.  Setidak-tidaknya akan dapat mengurangkan perbelanjaan menyediakan pakaian hari raya dan keperluan rumah tangga mereka kelak. 

      "Ya Allah, lapangkan kehidupan kami anak-beranak di dunia dan di akhirat.  Jauhkanlah kami dari azab api nerakaMu,"  doa Jenak dan Bahar setiap kali selepas solat.
 

      


      

No comments:

Post a Comment