Masagena_3

My photo
apabila tinta berbicara, mekarlah nostalgia, menyingkap ceritera, tanpa sia-sia

Sunday, 11 December 2011

Nekad Sepenuh Harapan

      Sam dan Aya dihantar ke Tanjung untuk meneruskan persekolahan mereka.  Dengan hati yang tersangat berat, Bahar dan Jenak melepaskan Sam dan Aya untuk meneruskan persekolahan di Tanjung.  Berhari-hari Jenak menyapu air matanya yang tumpah.  Kegusaran di hatinya melimpah bersama air matanya.... tidak terkatakan kebimbangannya.

      "HasbunalLah wani'mal wakiyl, ni'mal maula wani'man nasiyr... Cukuplah Allah bagi kami dan Dialah sebaik-baik penjaga, sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong..." doa Jenak setiap saat dengan linangan air mata.  Doa yang diulang-ulangi hingga melegakan kebimbangan dan perasaannya yang tidak keruan.

      Jenak tidak melepaskan anak-anaknya tanpa bekalan untuk sandaran.  Bukan bekalan duit yang banyak.... tapi bekalan amalan dan usaha.  Sam dan Aya diajar membuat kanji dengan tepung ubi; lalu diajar  membuat kon kertas minyak menggunakan gam kanji; lalu diajar menggoreng kacang tanah; lalu diajar membungkusnya dalam kon kertas.

      Jenak tidak perlu mengajar Sam dan Aya cara mengurus pakaian dan cara mengurus buku-buku pelajaran.  Sam dan Aya sudah lama pandai menguruskan pakaian mereka satu keluarga.  Jenak telah mengajar mereka sejak dulu lagi, dan mereka adalah anak yang sangat memahami erti tanggungjawab sebagai kakak.  Mereka sangat berdisiplin dalam pelajaran.  Buku-buku mereka terjaga rapi.  Jenak sangat bersyukur kepada Allah Azza Wajalla.

     Namun... "Siapalah yang akan menolong menyisirkan rambut Aya?  Siapalah yang akan mengingatkan Sam dan Aya untuk menjaga kebersihan diri mereka?  Siapalah yang akan menolong mencarikan kutu anak-anaknya?  Apabila anak-anaknya datang bulan buat pertama kali, siapalah yang akan membimbing mereka?  Siapa bakal mengajar mereka cara mandi wajib?.... Ya Allah, kuserahkan mereka kepadaMu, bulat-bulat kepadaMu.... Engkaulah pengurus mereka ya Allah, ya Rahman, ya Rahim."  Jenak berdoa dan terus berdoa.


      Bahar bersyukur kerana sahabatnya, Guru Wahab dan keluarga, sudi menumpangkan anak-anaknya di rumah mereka.  Bolehlah mereka berjalan kaki ke Sekolah Kerajaan Bandar yang tidak jauh dari situ.   Keadaan tidak mengizinkan Bahar berulang-alik mengunjungi mereka.   Sebatik itu adalah sebuah pulau yang dipisahkan dengan Tanjung oleh perjalanan selama satu hingga dua jam dengan bot motor.  Bergantunglah... jenis bot motor apa yang dinaiki.  Kem kayu balak pula memberi cuti hanya sekali dalam dua bulan.

      Kesian Sam dan Aya.  Mereka menggoreng kacang tanah untuk dijual di sekolah setiap hari.  Hasil jualan itulah yang mereka gunakan untuk belanja sekolah, agar mereka tidak putus wang.  Seorang sahabat Bahar bernama Sudin dengan rela hati membekalkan kacang tanah untuk anak-anaknya.  "Ya Allah, aku bersyukur kerana mempunyai sahabat-sahabat yang baik.... Alhamdulillah..."  hati Bahar selalu berbisik.

      Empat bulan selepas itu, Sam dan Aya tidak dibenarkan lagi menumpang di rumah itu, kerana mereka bukan ahli keluarga.  Rumah itu adalah rumah kerajaan, hanya untuk kakitangan kerajaan.  Sudin telah membawa anak-anaknya ke rumah adik Jenak bernama Mading di Esbok.  Sekolah Kerajaan Bandar sangat jauh dari Esbok, tidak seperti rumah Guru Wahab.

      Masalah baru ini sangat serius.  Bahar dan Jenak terkedu dibuatnya.  Bagaimana anak-anaknya boleh berjalan kaki ke sekolah sejauh hampir sepuluh batu pergi dan balik?   Bahar sangat pilu mengenangkan nasib Sam dan Aya yang terpaksa hidup tanpa ibu bapa di sisi.  Mereka terpaksa berusaha sendiri untuk belanja sekolah, menguruskan diri sendiri - entah terurus baik entah tidak, menumpang diri dan kasih di rumah orang, di suruh pindah pula, menanggung pelbagai kesusahan......  kasihannya Sam dan Aya.  Dada Bahar sering terasa ketat kerana menahan sebak memikirkan keadaan mereka.  Dia juga dapat melihat Jenak tersiksa sepertinya, malah mungkin lebih hebat lagi daripadanya.

      "Ya Allah, ini adalah taqdir Mu, kami terima dan redha.  Namun kami sangat lemah dan tidak berupaya ya Allah.   Tunjukkan kami jalan.... HasbunalLah wani'mal wakiyl, ni'mal maula wani'man nasiyr... Cukuplah Allah bagi kami dan Dialah sebaik-baik penjaga, sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong..... Ya Allah, berilah taufikMu kepada kami..." doa Bahar dalam munajatnya.



     





Thursday, 10 November 2011

Bermulanya.... 1965

     Dari tepi jalan, Bahar memandang ke halaman rumah.  Tanaman kacang tanah tersusun rapi di halaman yang tidak seluas mana.  Bunganya menguning, indah sekali pada pandangan matanya.  "Tak lama lagi, akan dapat hasil.... alhamdulillah.." katanya kepada dirinya penuh kesyukuran dan pengharapan.  Pintu dan tingkap rumah terbuka, tapi tidak kelihatan sesiapa, tidak isterinya, tidak juga seorangpun daripada enam orang anaknya.

     Keadaan sunyi dan sepi.  Tiba-tiba, suara Adun kuat dari dari dalam rumah, "Bapak balik!  Bapak Balik!" Adun menuruni anak tangga lalu menerpa ke arahnya dengan laju.  Adun satu-satunya anak lelakinya  baru berumur empat tahun.  Satu demi satu anak-anaknya muncul di ambang pintu rumah dengan wajah yang girang.  Sam, Aya, Una, dan Sia.  Isterinya muncul berdiri di belakang anak-anak, menggendong bayi mereka, Aba,  berumur empat bulan.  "Alhamdulillah.. alhamdulillah.." bisik hatinya bersyukur kerana mereka semua sihat walafiat.

     Anak-anaknya sudah tidur.  Jam di tangannya menunjukkan pukul 9.30 malam.  Selepas Maghrib tadi, suara lantang tiga orang anaknya membelah kesunyian malam dengan alunan bacaan Qur'an.  Demikianlah keadaan di rumahnya setiap hari, samaada  ketika dia ada di rumah atau di kem kayu balak.  Anak-anak jiran datang belajar mengaji Qur'an di waktu pagi dan petang.  Anak-anaknya pula membaca Qur'an sekali lagi di waktu malam.  Isterinya Jenak adalah seorang ibu sekaligus guru Qur'an yang sangat baik.  Una baru mula belajar Muqaddam, sedangkan Sam dan Aya sudah lancar dan bertajwid membaca Qur'an besar.   "Alhamdulillah.. alhamdulillah.." bisik hatinya bersyukur  kerana mendapat isteri yang alim dan solehah.

     "Kenapa Sam tidak ke sekolah tadi?" tanyanya kepada Jenak yang sedang menguli adunan tepung.  Jenak membuat kuih untuk dijual olah Sam, Aya dan Una setiap pagi di Kem Asykar Sebatik.  Setiap malam dia membuat kuih dengan tekunnya, diterangi oleh cahaya lampu minyak tanah.  Cahayanya sekadar cukup untuk menerangi ruang rumah mereka yang kecil.

     "Kapten Salim kata Sam sudah tamat di Sekolah Asykar Sebatik ini.  Dia sudah pandai semua yang diajarkan.  Sudah satu bulan dia behenti sekolah.  Kalau nak sambung sekolah, Sam perlu ke Tanjung,"  Jenak memberi penjelasan.  Kesedihan di hatinya bugar kembali mengenangkan anak sulungnya yang sangat cerdik itu tidak bersekolah.  Umurnya sebelas tahun dan sepatutnya belajar dalam darjah lima.  Sekolah Asykar Sebatik hanya ada darjah satu hingga empat sahaja.

     Bahar diam.  Setiap dua bulan dia meninggalkan keluarga untuk bekerja di kem kayu balak.  Hampir semua urusan keluarga ditanggung oleh Jenak yang sangat sabar, cekap dan bertanggungjawab.  Kompeni membenarkan pekerja balik empat hari saja dalam dua bulan.  Pekerjaannya sangat berbahaya dan memerlukan kemahiran yang tinggi. Dia pekerja berpengalaman dan kompeni menghargai keupayaannya dengan membayar gaji empat angka yang sangat lumayan.

     "Sam sudah tamat di Sekolah Asykar Sebatik... Sam perlu ke Tanjung..." kata-kata Jenak terngiang-ngiang di telinganya.  Sam anak sulungnya yang pandai dan rajin sekolah.  Sam yang turut memikul tanggungjawab menguruskan keluarga.  Sam yang cekap menjaga dan mengurus adik-adiknya.  Sam yang pandai mengira hasil jualan kuih di Kem Asykar.  Sam sudah berhenti sekolah.  Sam baru berumur sebelas tahun dan tidak bersekolah.